fb fb fb fb fb

Tiada sumber air bersih, PAIP segera hantar bantuan kepada penduduk terjejas di Bukit Kuin dan Kubang Puyu

KUANTAN, 1 Mac - Seramai 14 orang daripada empat keluarga di Bukit Kuin, di Kuantan, Pahang masih ditempatkan di Balai Raya Bukit Kuin biarpun banjir di rumah mereka telah surut sejak semalam.

Secara keseluruhannya, seramai 44 orang daripada 10 keluarga dari Bukit Kuin dan Kubang Puyu telah ditempatkan di balai raya itu sejak Sabtu lalu.

Namun, enam keluarga daripadanya telah pulang ke rumah masing-masing.

Menurut Pengerusi JKKK Bukit Kuin 1, Musa Ismail berkata empat keluarga yang masih belum pulang itu kerana tiada sumber air untuk mencuci rumah ekoran kejadian paip besar yang pecah akibat dihempap tebing jalan yang runtuh.

Lagi bertambah sukar untuk kerja baik pulih memandangkan paip tersebut masih ditenggelami air banjir kerana berada di tempat yang rendah.

Jelasnya, kerja-kerja membaik pulih paip tersebut sedang berjalan dan dijangka seluruh penduduk di Bukit Kuin akan menerima air bersih selewat-lewatnya malam esok.

"Mula-mula tiada air pada hari Sabtu, penduduk di sini kira-kira takde masalah lain cuma masalah air sahaja. Insya-Allah hari ini kalau ada rezeki, Allah Taala bagi dapatlah air malam ini atau malam esok. Saya bersyukurlah pada Allah Taala meski di uji macam ini," kata Musa ketika ditemu bual RTM.


(Pengerusi JKKK Bukit Kuin 1, Musa Ismail ditemui media ketika menjelaskan situasi dihadapi penduduk di Bukit Kuin 1)

Sementara itu, penduduk Bukit Kuin, Esah Idris, bersyukur dengan bantuan air bersih yang diberikan oleh Pengurusan Air Pahang (PAIP) kepada penduduk terjejas untuk meneruskan rutin harian.

Beliau juga memahami kesukaran pihak PAIP untuk membaiki paip yang telah pecah.

Manakala anaknya, Che Saharudin Che Roslan berkata kejadian banjir pada Sabtu lalu berlaku ketika dia pulang ke rumah ibunya selepas dua tahun tidak berjumpa akibat pandemik COVID-19.

Beliau yang bertugas di Kedah dan mengambil cuti selama 10 hari tidak menyangka perlu mengharungi banjir namun redha dengan keadaan yang menimpa keluarganya.

"Mujurlah sempat merasa jumpa keluarga. Sebab dah lama tak jumpa, hampir dua tahun lah tak balik," kata Saharudin kepada RTM.


(Che Saharudin Che Roslan ketika ditemui RTM berlapang dada dengan ujian bencana ini yang menimpa keluarganya)

Ketika ini, 6,000 gelen air telah dibekalkan Pengurusan Air Pahang (PAIP) kepada seluruh penduduk di situ.

Setakat ini, laluan masih terputus di Jalan Sungai Riau, Sungai Lembing.

Kenderaan ringan tidak digalakkan untuk melintasi jalan tersebut.

Media Baharu