SEREMBAN, 20 Oktober - Negeri Sembilan melancarkan kempen “Peduli Palestin” peringkat negeri dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat menyalurkan bantuan kepada umat Islam di Palestin.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri menyasarkan RM1 juta kutipan yang akan disalurkan kepada Palestin melalui pertubuhan Global Peace Mission (GPM).
Justeru katanya, orang ramai diseru untuk tampil menghulurkan bantuan sama ada melalui tabung kutipan di masjid atau secara terus ke akaun “ Peduli Palestin”.

"Ini jihad kita, ini perjuangan kita, ini tanggungjawab kita, kalau RM10 pun kita tidak boleh hendak bagi bagaimana rakan-rakan kita di sana mempertahankan, menjaga imej umat Islam.
"Hari ini kita cerita tentang Islam tetapi kita berkira-kira untuk kita menderma kepada perjuangan Islam yang sedang dihina," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Peduli Palestin” peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di sini.
Setakat ini, sebanyak lebih RM800,000 berjaya dikumpulkan melalui Tabung Amanah di bawah kempen berkenaan yang dikendalikan oleh Bendahari Kerajaan Negeri.