RAUB, 30 Oktober - Kementerian Komunikasi menyasarkan Kempen Internet Selamat (KIS) dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara, menjelang suku ketiga tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, 6,000 sekolah telah melaksanakan program ini, setakat pertengahan Oktober.
"Hasrat saya menjelang tahun depan, kita akan selesai pergi ke semua sekolah, bukan hanya di negeri Pahang tetapi di seluruh negara.
"Kita ada lebih 10,000 sekolah dan setakat hujung September, pertengahan Oktober kita sudah capai 6,000 sekolah. Maka ada lebih kurang 3,000 hingga 4,000 sekolah masih perlu kita laksanakan.
"Saya jangkakan menjelang pertengahan tahun depan atau suku ketiga, kita akan dapat selesai pergi ke setiap sekolah", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, Raub.
Katanya, menerusi program ini, Ikon K-Digital Advocate Team (K-DAT) dilantik dalam kalangan murid-murid dan guru sebagai penyampai maklumat di peringkat sekolah.
Ini termasuk berkongsi mengenai keselamatan siber, modus operandi penipuan dalam talian dan keputusan dasar kerajaan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Sementara itu, jelasnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pembinaan rangkaian hab gentian optik, Point of Presence (PoP) bagi meningkatkan capaian jalur lebar di sekolah.
"Kita baru selesai proses tender dan kerja-kerja akan mula di 170 buah sekolah di negeri Pahang pada Januari 2026. Pada masa yang sama sejumlah sekolah sudah siap pada sebelum ini dalam fasa satu PoP, di negeri Pahang ada 17 buah sekolah yang telah siap dan bawah MCMC kita ada satu program untuk pemasangan wifi di sekolah-sekolah ini", katanya.
Tambahnya, perbincangan juga telah diadakan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah berasrama penuh, dengan keutamaan diberikan di Pahang dan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
