PUCHONG, 30 Oktober - Lebih 103,000 anggota dan 34,000 kekuatan aset sudah bersiap siaga di seluruh negara bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) edisi 2025/2026.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata MTL dijangka bermula pada 6 November dan berterusan hingga 26 Mac tahun depan.
Keutamaan membabitkan tenaga kerja dan aset daripada semua agensi tindak balas dan teknikal utama di bawah Mekanisme Tindak Balas Bencana Negara itu merupakan kesiapsiagaan pada peringkat akar umbi melibatkan logistik, pemindahan hingga bekalan makanan.
"Kekuatan kita bagi musim ini membabitkan lebih 103,000 anggota tindak balas dan lebih 34,000 aset operasi daripada NADMA, polis, angkatan tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta agensi lain.
"Setiap agensi kini berada pada tahap berjaga-jaga tinggi bagi memastikan tindakan pantas dan bersepadu dapat dilakukan apabila bencana berlaku," katanya pada sesi libat urus media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi MTL di Pangkalan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Mengulas lanjut Datuk Abdul Halim berkata sebanyak tujuh jambatan keluli modular (jambatan bailey) sudah diperoleh dan diletakkan lebih awal di Kelantan, Sarawak dan Sabah bagi memperkukuh keupayaan logistik di kawasan berisiko banjir.
Selain itu, sebanyak 8,940 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti gabungan lebih 2.17 juta orang sudah dikenal pasti dan ditempatkan di bawah seliaan Jawatankuasa Bencana Daerah.
Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan pusat berkenaan dengan bantuan sukarelawan tempatan dan pemimpin komuniti yang dilatih di bawah program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) MADANI Siaga.
Manakala, sebanyak 60,000 kit makanan dan 110,000 pek makanan siap dimakan (MRE) diperuntukkan sebagai bantuan kemanusiaan segera untuk musim monsun kali ini.
