fb fb fb fb fb

Malaysia kecam pembunuhan di El-Fasher, gesa perdamaian segera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan yang berlaku di Sudan akibat konflik perang saudara dan krisis kemanusiaan.

Menurut laporan media, tragedi itu meragut kira-kira 1,500 nyawa orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan di bandar El-Fasher.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan menyatakan rasa dukacita serta menyeru pihak-pihak terlibat agar kembali ke meja rundingan dan mencapai pendamaian.

"Saya berasa amat dukacita mendapat laporan terkini berkaitan konflik perperangan saudara yang bertambah bergolak di Sudan. Konflik terbaru ini menjadikan krisis kemanusian yang sedang dihadapi rakyat Sudan tambah membarah," kata kenyataan itu.

Beliau turut menyeru perpaduan dan solidariti ummah untuk mendesak peperangan dihentikan serta bersama-sama membantu meringankan krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi rakyat Sudan.

"Marilah kita mendoakan rakyat Sudan terus tabah menghadapi krisis yang terjadi dan Sudan kembali aman dan makmur dalam masa terdekat," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM