fb fb fb fb fb

Kempen ‘War On Sugar’ dilancar bagi tangani masalah obesiti

Kempen ‘War On Sugar’ diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai obesiti

LABUAN, 14 Jun - Laporan Tinjauan, Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2024 mendapati 53.6 peratus rakyat Malaysia, atau satu dalam dua orang, mengalami masalah berat badan berlebihan.

Di Labuan, angka itu lebih membimbangkan, dengan 55.6 peratus penduduk dewasa mengalaminya.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, sehubungan itu kempen ‘War On Sugar’ sempena sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Labuan dilancarkan dan diharap dapat memberi kesedaran dalam kalangan warga pulau berkenaan.

 

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek

"Program ini adalah salah satu pendekatan untuk warga Labuan memahami obesiti, terutamanya mengenai pemakanan.

"Bila kesedaran itu ada, saya yakin angka dan peratus ini boleh menurun," katanya.

Beliau berkata demikian, selepas merasmikan pelancaran kempen di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Melalui kempen ini, Jabatan Kesihatan (JKN) Labuan bakal melaksanakan program advokasi termasuk ceramah kesedaran di institusi pendidikan dan pergiat hebahan di media sosial.

Selain itu, kerjasama dengan restoran dan pembekal makanan dalam mendidik awam agar lebih bijak membuat pilihan dengan mengurangkan pengambilan gula turut dilaksana.

Sementara itu, turut dilancar sambutan Hari Tanpa Tembakau peringkat Labuan.

Sehingga Mei 2025, JKN Labuan telah mengeluarkan 289 notis atas pelbagai kesalahan melibatkan merokok di kawasan larangan, peroko bawah umur 18 tahun serta pembungkusan dan pelabelan yang menyalahi akta.###

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK