KUANTAN, 14 Jun - Dua maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Batu 12 Jalan Kuantan-Maran, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Norihan Mustafa, 57, penumpang kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori Jayavarman Murugan, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 3.30 petang apabila lori dari arah Johor yang menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta.
“Kereta yang datang dari arah Kuantan ke Maran itu pula dinaiki tiga individu. Selain Norihan, pemandu kereta Mohd Ridzwan Ab Mubin, 59, mengalami kecederaan pada muka dan bahu, manakala seorang lagi penumpang hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pemandu kereta berkenaan dibawa ke HTAA Kuantan untuk menerima rawatan lanjut.
Wan Mohd Zahari berkata kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer untuk pemeriksaan lanjut.