PUTRAJAYA, 31 Ogos - Puluhan ribu rakyat Malaysia pelbagai lapisan membanjiri Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di sini.
Sambutan ke-68 itu bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" yang mencerminkan semangat perpaduan nasional selain diserikan dengan pelbagai acara istiadat, persembahan serta perarakan yang memperlihatkan kekuatan rakyat dan negara secara menyeluruh.
Pembuka tirai acara sambutan dimulai dengan ketibaan dif-dif kehormat seawal 6.30 pagi.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri kereta berwarna biru dengan no pendaftaram WWW1 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, pada 8.00 pagi.
Ketibaan bersejarah itu disambut penuh adat kebesaran negara, diiringi tiupan nafiri serta alunan lagu “Hormat Diraja” dan “Negaraku” oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.
Mengiringi istiadat, Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan 4 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, turut melaksanakan pemeriksaan pasukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Seluruh hadirin yang memenuhi Dataran Putrajaya berdiri hormat, manakala tetamu kehormat beruniform memberikan tabik hormat sewaktu panji-panji kebesaran negara melintasi pentas diraja.
Acara berprestij itu didahului dengan nyanyian lagu kebangsaan "Negaraku", diiringi upacara menaikkan Jalur Gemilang, serentak dengan 14 das tembakan kehormatan melambangkan kesatuan 14 negeri, dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta diplomat dan perwakilan asing turut menghadiri sambutan itu.
Ketibaan Perdana Menteri diiringi lagu rasmi 'Hormat Perdana' sebelum laungan keramat 'Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni' bergema sebanyak tiga kali, mencetuskan sorakan semangat patriotik daripada puluhan ribu hadirin yang membanjiri dataran.
Terdahulu, acara sambutan dimulakan dengan ketibaan dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, masing-masing diiringi pasangan.
Kira-kira 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta, 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam terlibat dengan perarakan dan perbarisan.
Pengisian perbarisan dan perarakan melibatkan enam komponen, iaitu kenegaraan, perarakan rakyat, kesejahteraan, keselamatan negara, persembahan udara, dan persembahan khas MADANI, sambil dimeriahkan dengan persembahan teres grafik manusia dan koir melibatkan 2,000 pelajar daripada 50 sekolah menengah sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Perarakan didahului dengan pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat terdiri daripada seorang pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat pimpinan Leftenan Khairul Anuar Hasan.