fb fb fb fb fb

Dataran Putrajaya dibanjiri puluhan ribu peserta, penonton

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Seawal pukul 6.00 pagi, Dataran Putrajaya di sini mula dipenuhi puluhan ribu penonton dan peserta perbarisan bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Cuaca baik pada pagi ini memberi kelegaan kepada 14,062 peserta, 81 kontinjen, 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam yang sudah bersedia pada kedudukan masing-masing.

Selain perarakan kontinjen, sambutan edisi ke-68 menampilkan lebih 400 aset ketenteraan daripada pasukan keselamatan negara yang jarang dipertontonkan kepada umum.

Antara segmen yang bakal mencuri perhatian ialah persembahan human graphic atau grafik manusia, gabungan unik visual dan koir yang melibatkan 2,000 pelajar tingkatan satu hingga empat daripada 50 buah sekolah menengah sekitar Selangor.

Mereka bakal mempersembahkan 12 lagu berunsurkan perpaduan dan keharmonian, mencerminkan semangat jiwa merdeka rakyat Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI