SARIKEI, 31 Ogos - Hampir 8,000 penduduk sekitar Sarikei menyertai ‘Unity Walk’ yang diadakan di Kompleks Sukan Sarikei pagi ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, program itu merangkumi perjalanan sejauh 1.2 Kilometer dari Kompleks Sukan Sarikei menuju ke Bazzar MARA.
"Alhamdulillah pada pagi ini sambutan rakyat di Sarikei ini termasuk kawasan Tanjung Manis yang menjangkau angka hampir 8000 seperti yang kita dimaklumkan.
"Jadi sebab itulah saya bagi pihak yang menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Fatimah mengucapkan terima kasih kepada residen Sarikei, pasukan beliau dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Unity Walk kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selepas menyertai program Unity Walk di Kompleks Sukan Sarikei di sini hari ini.
Program yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat itu bermula seawal pukul 7.00 pagi dengan senaman ‘Langkah Serentak, Sehati Sejiwa’.
Acara pelepasan program itu dilalukan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.