KUALA LUMPUR, 27 November – Kementerian Pertahanan merancang untuk menubuhkan Pusat Trauma di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, rancangan itu sebagai langkah memperluas perkhidmatan perubatan dan meningkatkan penjawatan tenaga pakar.
Tambah beliau, penubuhan pusat tersebut akan membantu menangani keperluan semasa hospital, termasuk kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kita di Hospital Angkatan Tentera, bukan tiada pakar, tetapi kekurangan penjawatan. Kita sentiasa bekerjasama dengan KKM dalam bidang tertentu, di mana kepakaran kita manfaatkan bersama KKM dan sebaliknya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berhubung isu kekurangan pakar di Hospital Angkatan Tentera di seluruh negara.
Tambah Adly, penggunaan teknologi terkini dalam perubatan menjadi faktor utama keperluan pertambahan penjawatan di hospital berkenaan.