fb fb fb fb fb

Kementerian Perpaduan komited martabat warisan sejarah arkeologi Lembah Bujang

Keunikan senibina candi turut dipamerkan pada galeri pameran Arkeologi dan perdagangan Lembah Bujang/Foto Kementerian Perpaduan Negara

SUNGAI PETANI, 2 November - Kementerian Perpaduan Negara komited mengangkat dan memartabatkan seni budaya dan warisan sejarah menerusi Jabatan Muzium Malaysia.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha ini dapat dilihat dengan kepelbagaian artifak yang dipamerkan pada Program Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Pameran Galeri Sejarah Arkeologi Lembah Bujang.

"Ini membuktikan Kedah Tua pernah menjadi pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya, dan amalan kepercayaan.

"Sejarah panjang Kedah Tua ini mencerminkan kehebatan tamadun serta nilai-nilai yang diwarisi generasi masa kini.

"Penemuan artifak ini mengukuhkan bukti hubungan perdagangan yang erat antara Kedah Tua dengan tamadun-tamadun besar lain seperti India, China, Timur Tengah, dan Nusantara," katanya pada majlis perasmian Program Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Pameran Galeri Sejarah Arkeologi Lembah Bujang di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

0211 ARTIFAK KEDAH 3 Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyempurnakan majlis Program Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Pameran Galeri Sejarah Arkeologi Lembah Bujang

Baginda turut berkenan melawat Galeri Arkeologi Lembah Bujang dan Galeri Perdagangan yang mempamerkan pelbagai artifak bersejarah hasil ekskavasi sejak 1840-an.

Program Citra Nusa @ Muzium merupakan program yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan tentang cita-cita dan prinsip Rukun Negara serta sejarah ketamadunan negara bagi mengukuhkan jati diri dan semangat cintakan negara dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Antara artifak menarik yang dipamerkan termasuk Batu Bersurat Sungai Mas yang mengandungi mantera agama Buddha, arca Ganesha dari granit, serta barangan seperti tempayan, teko, pinggan porselin, seramik, dan manik-manik kaca yang mencerminkan kekayaan budaya Kedah Tua.

GRACE AISYAH KEDAYAN