fb fb fb fb fb

ASEAN 2025: DOSM sedia jadi rujukan kepakaran data

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

BUTTERWORTH, 2 November- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyambut baik mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi contoh dan rujukan kepada negara serantau, menjelang Kepengerusian ASEAN 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pihaknya sentiasa bersedia dalam menjadi rujukan khusus dalam bidang data.

Perkara itu disebabkan terdapat banyak lawatan dari negara luar selain warga DOSM dijadikan pakar rujuk.

"Jadi, kita dengar tadi bagaimana perkhidmatan DOSM untuk tonjolkan sesuatu yang tinggi sebagai satu rujukan dan memang itu antara perkara yang sentiasa kita tekankan.

Kalau kita lihat dalam rekod jabatan, kita telah dihadiri dan dikunjungi banyak negara dari pelbagai benua bahkan anggota DOSM juga dijadikan pakar rujuk oleh pelbagai negara.

Ini pastinya satu perkara yang juga ditekankan Perdana Menteri iaitu untuk DOSM mengekalkan prestasi dan terus meningkatkan lagi sumbangan kepada negara," kata Dr. Mohd Uzir kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata DOSM telah berjaya mengurangkan kebergantungan negara kepada kepakaran bidang data dari negara luar.

Perkara itu selari dengan kepentingan untuk mengiktiraf bakat tempatan khususnya DOSM yang menghasilkan data berkualiti hingga ke peringkat akar umbi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM