KUALA LUMPUR, 21 Jun- Kementerian Pengangkutan sedang memuktamadkan syarat dan garis panduan pelantikan syarikat pemeriksaan kenderaan .
Perkara itu bagi menggalakkan kekerapan pemeriksaan untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin khususnya kenderaan perdagangan di jalan raya.
Jelas Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah perkara itu dijangka akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.
"Berkenaan pertambahan pelantikan syarikat pemeriksaan kenderaan, Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada masa ini sedang memuktamadkan semua peraturan, syarat-syarat, garis panduan dan lain-lain dokumen berkaitan yang akan ditetapkan kepada mana-mana pihak lain yang akan dipelawa untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Semua perkara tersebut dijangka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya sebelum akhir tahun 2023. Pelawaan kepada pihak yang berminat akan boleh dimulakan dalam penggal pertama tahun 2024," katanya di Dewan Negara ketika menjawab soalan yang dikemukakan Senator Rita Sarimah Patrick Insol.
Rita Sarimah mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan berhubung tindakan kerajaan untuk menyemak semula syarat-syarat kelulusan pemeriksaan kenderaan khususnya kekerapan pemeriksaan kepada kenderaan perniagaan selain daripada menambah pelantikan syarikat pemeriksaan kenderaan.
(Hasbi Habibollah)