KUALA LUMPUR, 21 Jun- Yang Di Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bermula hari ini hingga 2 Julai depan.
Turut mengiringi baginda berdua, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum berlepas, baginda berdua berkenan bersalaman bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim.
Pada majlis berkenaan ia dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Luqman Abdullah serta laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Agama Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.
Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut bersalaman dengan petugas di Istana Negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka baginda berdua dalam Majlis Keberangkatan Seri Paduka Baginda yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama Pemangku Raja Pahang menunaikan ibadah haji di Istana Negara.
(Al Sultan Abdullah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara/BERNAMA)