fb fb fb fb fb

Kementerian luar giat selaras usaha susulan gempa bumi di New York, New Jersey

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 April - Satu gempa bumi berukuran 4.8 magnitud melanda berhampiran Stesen Whitehouse, New Jersey, kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata gegaran dirasai di seluruh kawasan Tri-State (New York, New Jersey, Connecticut) dan sejauh utara Massachusetts.

Menurut kenyataan itu, walaupun tiada laporan kerosakan besar atau kecederaan dilaporkan, pihak berkuasa masih menilai keadaan dan situasi semasa.

Notis pemberhentian darat telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan di lapangan terbang utama dan menggantung beberapa perkhidmatan pengangkutan awam buat sementara waktu.

"Konsulat Jeneral Malaysia di New York sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York di alamat: 313 East 43rd Street New York, NY 10017 atau melalui nombor telefon: +1(212) 490 2723 atau melalui e-mel: mwnewyorkcg@ kln.gov.my.

Sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

TETITIA YUSOFF