SEREMBAN, 6 April- Hampir 17 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan ditugaskan untuk membuat penyamaran menerusi Op Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, mereka akan menyamar sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas eskpres yang mengabaikan keselamatan penumpang.
"Dalam pada itu kita dapati masih ada lagi segelintir pemandu bas langgar peraturan iaitu antaranya memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.
Kempen berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan, J Arul Kumar.
Sementara itu Hanif berkata seramai 234 cuti pegawai dan anggotanya dibekukan sempena musim perayaan kali ini.
Ujarnya, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan terutama di lokasi panas dan strategi penguatkuasaan tanpa sentuh diberi keutamaan dan cara itu dilihat lebih berkesan.
"Kita aktifkan penguatkuasaan sebegini dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dan tumpuan kepada penggunaan dron dan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) yang dilengkapi Enforcement Action Camera (EAC).
Dalam pada itu beliau mengingatkan pengguna lebuh raya supaya lebih peka dengan pengaktifan laluan SmartLane pada musim perayaan ini bagi mengelakkan kekeliruan hingga menyebabkan kemalangan.
"Di Negeri Sembilan terdapat dua laluan SmartlLane yang diaktifkan iaitu Kilometer (KM) 280.0 arah Selatan (Nilai) – KM276.0 arah Selatan (R&R Seremban) dan KM260.0 Arah Utara (Port Dickson) - KM263.1 Arah Utara (Seremban).
"Saya khuatir masyarakat masih terkeliru dengan penggunaan SmartlLane ini.Mungkin ada antara mereka merasakan laluan kecemasan itu semata-mata adalah laluan kecemasan sedangkan pada musim perayaan pihak lebuh raya telah membenarkan laluan itu digunakan bagi mengurangkan kesesakan," ujarnya.