fb fb fb fb fb

Kementerian Komunikasi sambut titah Agong bendung budaya buli

Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kementerian Komunikasi menyambut titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan membendung budaya buli sejak di bangku sekolah.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.

Menurut beliau, Kementerian Komunikasi komited menyokong hasrat Seri Paduka Baginda melalui beberapa langkah.

"Antaranya, melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.

"Menggerakkan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.

"Memperluas pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat," katanya menerusi kenyataan.

Datuk Fahmi berkata, usaha itu seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan menangani isu buli dengan lebih tegas.

Kementerian Komunikasi juga akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja, agar generasi muda menghayati nilai hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media untuk berganding bahu membanteras gejala buli.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM