
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kementerian Komunikasi menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menyeru agar pemantauan terhadap penyebaran berita palsu dan kandungan fitnah terus diperkasakan.
- Kementerian Komunikasi kekal komited membanteras berita palsu dan kandungan fitnah melalui tindakan berterusan.
- Pengesahan umur bagi semua platform media sosial berkuat kuasa hari ini untuk melindungi kanak-kanak bawah 16 tahun.
- Platform digital yang berniaga dan meraih keuntungan di Malaysia mesti menghormati undang-undang; tindakan susulan akan diambil terhadap yang ingkar.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata kementerian akan terus komited dalam usaha membanteras isu tersebut.
Jelas beliau, bagi merealisasikan hasrat itu, proses pengesahan umur bagi semua platform media sosial berkuat kuasa hari ini, sekali gus menjadikan ia langkah penting ke arah usaha yang lebih menyeluruh.
“Ini merupakan langkah penting untuk kita pertama pastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak menjadi mangsa kepada kemudaratan dalam talian yang hari ini terlalu banyak tersebar dengan terlalu mudah.
“Dan saya percaya ini langkah pertama dan ada langkah-langkah susulan yang perlu kita ambil termasuk terhadap platform-platform yang ingkar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Tegas beliau, mana-mana platform digital yang menjalankan perniagaan serta meraih keuntungan di Malaysia perlu menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Datuk Fahmi berharap syarikat-syarikat pengendali platform media sosial memberi perhatian serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong tersebut.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat dan kandungan palsu yang semakin berleluasa, khususnya apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu menerusi video ‘deepfake’ di media sosial.
Sementara itu, mengulas titah Sultan Ibrahim yang menyeru rakyat agar terus menghayati prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian, beliau berkata titah berkenaan wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak, termasuk pemimpin politik, dalam memahami serta menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara.