SERDANG, 18 Mei- Kementerian Komunikasi akan menjelajah ke 344 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara melalui Kempen Internet Selamat (KIS) sepanjang Mei hingga Ogos ini, dalam usaha memupuk kesedaran mengenai keselamatan siber di kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata setakat ini, kempen berkenaan telah berjaya dilaksanakan di sembilan buah sekolah rendah.
“Hasrat kami adalah untuk pergi ke sebanyak mungkin sekolah rendah, sekolah menengah dan juga kampus universiti.
"Jadi untuk mereka yang berminat boleh hubungi kami. Mereka yang tidak hubungi kami, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan ambil inisiatif untuk hubungi mereka samada mereka berminat supaya kita boleh aturkan program sebegini di sekolah dan juga kampus," katanya pada program Diabetes Day 2025 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Jelasnya lagi (MCMC) sudah melantik 196 pelatih yang bertindak sebagai jurucakap semasa pelaksanaan kempen tersebut.
Fokusnya mengenai buli siber, keselamatan dalam talian dan lain-lain lagi mengikut peringkat usia.
Sebelum ini, pelaksanaan Kempen Internet Selamat dilaporkan akan diadakan di lebih banyak sekolah rendah, sekolah menengah serta universiti awam di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.