KUALA LUMPUR, 18 Mei- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melanjutkan tarikh tutup permohonan fasa kedua UPUOnline sehingga jam 8 pagi, esok bagi memberi lebih ruang kepada pelajar membuat pilihan kursus dan institusi pendidikan tinggi (IPT) sesuai kelayakan masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata peluang ini harus direbut dengan sebaiknya dan dan tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan yang akan membentuk masa depan mereka.
Katanya, KPT akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan pelajar dari semua latar belakang mendapat peluang yang adil untuk melanjutkan pengajian.
"Masuk dan daftar dulu. Jangan jadikan masalah kewangan sebagai halangan. Kami akan bantu.
"Aspek kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sesiapa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Pendidikan adalah senjata yang paling kuat yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia," katanya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai permohonan boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi UPUOnline https://upu.mohe.gov.my/.