TAPAH, 27 April - Majoriti besar yang diperolehi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi bukti jelas sokongan pengundi terhadap agenda kestabilan yang dibawa Kerajaan Perpaduan.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia memberi isyarat jelas bahawa penduduk di kawasan itu menolak politik fitnah.
"Ini sesuatu yang baik kerana ia telah menggambarkan bagaimana pengundi Ayer Kuning ini cintakan kepada perdamaian yang tidak sukakan kepada provokasi, tidak suka cari gaduh dan mereka menolak sesiapa juga yang membuat fitnah.
"Sebab itu, saya sebutkan dalam wawancara hari tu, mereka yang dari luar itu dia bercakap ikut sedap mulut, dia menyebabkan pengundi-pengundi Ayer Kuning ini menjadi huru hara," kata Saarani.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini.
Tambah beliau, kemenangan berkenaan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih semua pihak termasuk jentera BN dan Pakatan Harapan yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Saarani turut memberi komitmen bagi membantu wakil rakyat Ayer Kuning yang baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir untuk memberi khidmat kepada penduduk di kawasannya.
Sementara itu, Mohamad Yusri mahu merealisasikan manifesto dan janjinya untuk membantu rakyat serta membangunkan Ayer Kuning.
"Insya-Allah apa yang kita tawarkan dan kita tekad tawarkan dalam manifesto itu, Insya-Allah kita akan usahakan sehingga mencapai tahap yang baik untuk keselesaan dan kebaikan penduduk di kawasan, terutamanya DUN Ayer Kuning ini," kata Yusri.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Beliau meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS 1,106 undi.