fb fb fb fb fb

Malaysia sertai prosiding pendapat nasihat ICJ mengenai Palestin

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 27 April - Malaysia akan mengambil bahagian dalam Sesi Pendengaran Awam prosiding Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Palestin di The Hague, Belanda mulai Isnin (28 April).

Prosiding itu adalah mengenai Kewajipan Israel berhubung dengan Kehadiran dan Aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Antarabangsa lain, serta Negara Ketiga dalam dan berhubung dengan Wilayah Palestin yang Diduduki.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengetuai delegasi Malaysia, diiringi oleh Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Luar Negeri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Kedutaan Besar Malaysia di The Hague.

Azalina dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada 11.00 malam 28 April 2025 waktu Malaysia. Ini menandakan penyertaan ketiga Malaysia dalam prosiding Pendapat Penasihat ICJ berkaitan Palestin, berikutan penglibatan sebelumnya pada 2004 dan 2024.

“Perbicaraan bertujuan memberikan pendapat nasihat mengenai tanggungjawab undang-undang Israel berhubung kehadiran dan tindakannya di wilayah itu, dan implikasi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, organisasi antarabangsa dan negara ketiga.

“Dalam Kenyataan Negara, Menteri akan mengusulkan hujah-hujah perundangan bagi mensabitkan kewajipan dan akauntabiliti ke atas Israel yang terus menghalang rakyat Palestin dalam penentuan hak nasib sendiri (self-determination),” menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Kementerian Luar menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai Ibu Negara.

Pendapat Nasihat itu ekoran Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 79/232 yang diluluskan pada 19 Disember 2024.

Malaysia menaja bersama dan mengundi menyokong Resolusi terbabit, selaku Ahli Kumpulan Teras Negara-Negara Sepemikiran yang mengusahakan Resolusi itu.

Malaysia juga akan menyertai 39 negara lain dan empat Pertubuhan Antarabangsa pada Perbicaraan Lisan.

Pada 28 Februari 2025, Malaysia mengemukakan Kenyataan Bertulis mengenai Kewajipan Israel terhadap PBB dan Organisasi Antarabangsa lain serta Negara Ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Memandangkan serangan yang diperbaharui dan berterusan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, Malaysia tetap tegas dalam mengukuhkan hujah-hujah ini semasa sesi yang akan datang.

Sesi pendengaran Awam pada 28 April merupakan satu kesinambungan kepada Kenyataan Bertulis sebelum ini dan dua Prosiding Pendapat Nasihat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2004 dan 2024.

TETITIA YUSOFF