KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Tiada unsur penderaan atau kelakuan berbentuk kekerasan yang menjurus kepada kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin pada 28 Julai lepas.
Keputusan itu diperoleh jawatankuasa siasatan yang membabitkan beberapa kementerian iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kejadian berlaku sehari selepas Allahyarham Syamsul Haris memulakan latihan pada 27 Julai lalu.
“Keterangan saksi termasuk jurulatih mengesahkan semua latihan mengikut sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
Laporan hospital turut mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham, sekali gus menyokong dapatan pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia, di sini.
Datuk Seri Khaled turut menjelaskan Allahyarham terlibat dalam latihan inokulasi tempur yang memerlukannya merangkak di bawah tembakan peluru hidup bersama lebih 30 peserta lain.
Allahyarham kemudian menunjukkan tanda-tanda keletihan dan kemudiannya meninggal dunia.
Jelas Datuk Seri Khaled, insiden ini tidak wajar dikaitkan atau disamakan dengan kes kematian Zara Qairina.
"Sekiranya terdapat unsur penderaan atau jenayah, kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa," ujarnya lagi.