fb fb fb fb fb

Kemasukan PDI, mampu tingkat produktiviti

KUALA LUMPUR, 3 April- Kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia, PDI ke Malaysia melalui Memorandum Persefahaman, MoU bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia dilihat dapat membantu golongan pekerja pelbagai sektor dalam menguruskan urusan seharian.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ini secara tidak langsung dapat menambah produktiviti golongan pekerja agar lebih fokus dalam menambah pendapatan keluarga seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Isi rumah atau keluarga yang sememangnya bergantung kepada pembantu rumah dalam kehidupan seharian dalam menjaga rumah mereka, menjaga keluarga mereka dan sebagainya. ini dapat melancarkan urusan harian terutamanya bagi mereka yang bekerja," kata Dr. Mohd Afzanizam.


(Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid)


Sementara itu, menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, dengan caruman PERKESO yang terkandung dalam MOU PDI tersebut, ia menunjukkan kerajaan turut menjaga kebajikan PDI tanpa diskriminasi.

"Perlindungan sosial ini penting bagi menentukan bahawa kerajaan serius dalam menentukan bahawa apa yang kita buat ini mengikut bagaimana perlindugnan sosial yang kita tetapkan bagi rakyat malaysia, bagi pekerja malaysia, bagi pekerja yang berkhidmat di Malaysia," kata Abdul Halim.

Semalam, Memorandum Persefahaman, MoU bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia, PDI di Malaysia telah ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia.

Antara intipati MOU tersebut termasuk caruman PERKESO, cuti rehat satu hari dalam seminggu dan bayaran gaji melalui e-wages bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada tujuh hari.


(Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor)

Media Baharu