fb fb fb fb fb

Kemangkatan Presiden UAE, Agong berangkat ke Abu Dhabi Ahad ini

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan yang telah kembali ke rahmatullah .

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Almarhum dan berharap agar seluruh keluarga Almarhum tabah menghadapi dugaan .

Susulan kemangkatan Sheikh Khalifa, Al-Sultan Abdullah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepadanya dan seluruh keluarga.


(Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Yang Mulia Sheikh Khalifa  Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Seri Paduka Baginda dan Sheikh Mohamed merupakan rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (SAN-DURS) pada 1978 dan 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal sehingga kini.

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Abu Dhabi, Ahad ini bersama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Al-Marhum.

Istiadat Penghormatan Terakhir Almarhum Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin.

Media Baharu