fb fb fb fb fb

Kemalangan maut: Pemandu lori rempuh MPV dinaiki lima sekeluarga direman

(Pemandu lori, 44, di pekarangan Mahkamah Kemaman, hari ini)

KEMAMAN, 16 September– Seorang pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut dengan mengorbankan tiga beranak di Kilometer 154 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Bandar Ceneh Baru, di sini, Terengganu, petang semalam, direman selama empat hari, bermula hari ini sehingga Selasa.
 
Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan hakim Wan Suhaila Mohd mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
 
Lelaki berumur 44 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Kemaman kira-kira pukul 9.00 pagi dengan diiringi pegawai polis.
 
Dalam kejadian sekitar pukul 2.05 petang semalam, bapa dan dua anak lelakinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki lima sekeluarga itu dirempuh lori 10 tan.

Lori berkenaan dari arah Bandar Chukai menuju Bandar Ceneh Baru dipercayai mengalami masalah brek sejurus tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh dan menyeret MPV terbabit sejauh kira-kira 20 meter.
 
Mangsa, Ammir Hussein Mohamad, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anaknya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein, 12 bulan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
 
Sementara itu, isteri mangsa, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang memandu MPV tersebut dan sedang hamil cedera pada bahagian perut.
 
Norhafizah telah dibenarkan keluar dari hospital sama hari ini, manakala seorang lagi mangsa iaitu anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

(Jenazah tiga sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Jabor Kubur 
di Kemaman, Terengganu, awal pagi tadi)

Berita berkaitan:
Tiga maut, lori rempuh MPV dinaiki lima sekeluarga di Kemaman

Media Baharu