
GUA MUSANG, 14 Januari– Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang hari ini apabila ahli keluarga menuntut jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh, di sini, pada Selasa.
- Keluarga menuntut jenazah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengangkutan yang maut dalam kemalangan Kilometer 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
- Bedah siasat bermula 8.00 pagi dan selesai 10.45 pagi, diikuti solat jenazah sebelum penyerahan kepada keluarga.
- Dua pekerja turut maut; pemandu MPV terselamat dengan kecederaan di kaki dan kepala.
- Mangsa dan pekerja dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.
Proses bedah siasat ke atas Allahyarham Nik Razizi Nik Rahim, 55 tahun, bermula pada pukul 8.00 pagi dan selesai pada pukul 10.45 pagi sebelum urusan pengurusan jenazah disempurnakan kira-kira 45 minit kemudian.
Solat jenazah Allahyarham diadakan di pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang sebelum jenazah diserahkan kepada pihak keluarga bagi urusan pengebumian.
Adik ipar Allahyarham, Mukhriz Hassan berkata pihak keluarga bersyukur kerana proses bedah siasat serta pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan lancar.
Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan selepas solat Asar, petang ini.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Keranji, Simpang Tiga, Pengkalan Chepa, pukul 10.22 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah tiba di kediamannya di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, sekitar pukul 4.00 pagi, selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Gua Musang.
Suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarham dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan yang datang memberi penghormatan terakhir.
“Saya hanya ada dia seorang sahaja, satu-satunya adik yang paling saya sayangi. Saya benar-benar terkejut dan tidak menyangka kejadian ini berlaku.”
“Saya juga memohon ampun dan maaf bagi pihaknya sekiranya ada salah silap terhadap rakan-rakan dan kenalan arwah,” kata isteri Allahyarham, Nurul Ain Abdul Rahman.
Allahyarham merupakan antara tiga rakan yang terkorban dalam kemalangan kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga pekerjanya sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus ketika kemalangan berlaku.
Hasrat Allahyarham Nik Razizi bersama tiga pekerjanya untuk menghadiri kursus di ibu negara tidak kesampaian apabila beliau bersama dua pekerja maut dalam nahas di lokasi sama, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, Nik Razizi bersama dua pekerjanya, Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33 tahun dan Nik Azmi Nik Othman, 47 tahun, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemandu MPV berkenaan, Nik Mohd Faizol Nik Abd Aziz, 42 tahun, yang juga pembantu am syarikat tersebut, terselamat namun mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kepala.