PPTM 2026-2035 tumpu graduan berdaya saing dan integrasi AI

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim ketika mengulas pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 bakal meneruskan agenda reformasi pendidikan tinggi negara dengan memberi tumpuan kepada pembaharuan transformasi bagi memperkukuh daya saing serta relevansi sistem pendidikan tinggi pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPTM menumpu melahirkan graduan berdaya saing dengan pembangunan kompetensi, nilai dan kebolehan menghadapi cabaran masa depan.
  • AI diintegrasikan sebagai elemen teras secara menyeluruh dalam pembelajaran, pembangunan kerjaya dan pembentukan sahsiah pelajar.
  • Pembangunan pelan berdasarkan analisis keperluan masa depan dan libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata antara fokus utama pelan berkenaan ialah melahirkan graduan sebagai pembina negara, dengan penekanan terhadap pembangunan kompetensi, nilai serta daya saing bagi membolehkan mereka berdepan cabaran masa depan.

Menurut beliau, PPTM 2026-2035 turut menekankan integrasi teknologi secara menyeluruh dan berterusan, khususnya kecerdasan buatan (AI), dalam proses pembelajaran, pembangunan kerjaya serta pembentukan sahsiah pelajar.

Beliau menjelaskan sebelum ini teknologi hanya dianggap sebagai alat sokongan, namun melalui pelan baharu itu, AI ditetapkan sebagai elemen teras yang diintegrasikan secara kekal dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi.

“Kita tidak lagi boleh mengelak daripada realiti bahawa AI kini berada di mana-mana dan akan menjadi lebih dominan pada masa hadapan. Justeru, pelajar dan institusi pendidikan perlu bersedia dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, di sini.

Selain itu, Datuk Dr Anesee berkata analisis keperluan masa hadapan turut dilaksanakan bagi memastikan pelan berkenaan mampu menangani ketidaktentuan global serta perubahan landskap pendidikan dan pasaran pekerjaan.

Menurutnya, proses pembangunan PPTM 2026-2035 turut melibatkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar, pensyarah, peguam dan wakil industri.

“Secara keseluruhan, lebih 8,000 pihak berkepentingan telah terlibat dalam pembangunan pelan ini, manakala lebih 180 pakar bertanggungjawab membangunkannya secara holistik,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.