BESUT, 11 Jun – Keluarga kepada Nor Ayuni Maslan, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik baru-baru ini, bersedia untuk memaafkan pemandu bas terbabit.
Abang mangsa, Ahmad Azizul Maslan, berkata meskipun kejadian tersebut amat menyedihkan, keluarganya memilih untuk tidak memanjangkan isu berkenaan dan menerima tragedi itu sebagai suratan takdir.
“Kami sekeluarga dimaklumkan mengenai kes ini melalui pihak media, dan Alhamdulillah, kami sudah reda dengan pemergian arwah. Apa yang penting sekarang, kami mahu arwah tenang di alam sana,” kata abang mangsa ketika ditemui di kediaman keluarga di Felda Tenang, Besut di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga mangsa menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan yang hadir menzahirkan takziah dan sokongan.
Nor Ayuni, penuntut tahun pertama program Sarjana Muda Sains Pertanian (Perkembangan Pertanian dengan Pendidikan), merupakan antara 15 mangsa yang maut apabila bas persiaran yang membawa penuntut UPSI dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik pada Isnin lalu.
Ahmad Azizul turut berkongsi bahawa kenangan terakhir mereka sekeluarga bersama arwah adalah sambutan hari lahir Nor Ayuni yang diraikan malam sebelum kejadian.
“Waktu itu arwah banyak termenung sebelum naik bas…,” katanya.