fb fb fb fb fb

Keluarga Malaysia diseru amalkan tolak ansur, kebersamaan di Aidilfitri - PM

PUTRAJAYA, 1 Mei- Keluarga Malaysia diseru untuk berpegang kepada konsep Tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata konsep ajaran Islam itu selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Keluarga Malaysia.

Beliau berkata dengan Tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

"Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam,kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat. Tasamuh adalah salah satu bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan dalam kehidupan sehari-hari. Dalam bermasyarakat, tasamuh adalah sikap yang penting untuk diterapkan," katanya dalam perutusan khas Aidilfitri.

Tambah beliau lagi, ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’ semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera.


(FOTO JPM)

Sementara itu, Perdana Menteri turut berkata rakyat Malaysia telah membuktikan kekuatan dan keutuhan masing-masing dalam mendepani ujian pandemik COVID-19 selama dua tahun ini sehingga dapat merasai kembali  kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.

Ujarnya, solidariti Keluarga Malaysia dalam mendepani cabaran dan dugaan itu, menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara supaya rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

Perdana Menteri berkata Malaysia bertuah kerana masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia.

Menurutnya ini meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius antaranya membabitkan konflik antara Rusia dan Ukraine serta Palestin dengan Israel.

“Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.
Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara-saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya, menyambut Syawal dengan menyeka air mata,” katanya .

Beliau turut berharap rakyat Malaysia dapat memanfaatkan Kelonggaran Prosedur Operasi Standard COVID-19 mulai 1 Mei ini, untuk menyantuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim.

Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta

Media Baharu