
KOTA BHARU, 19 Julai – Ahli keluarga Rosnani Mahmood, 62, mengadakan solat hajat di lokasi terakhir wanita warga emas itu di Wakaf Stan, Kubang Kerian, selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.
- Keluarga mengadakan solat hajat serta bacaan Yasin di rumah dan masjid berulang kali sebagai ikhtiar.
- Seramai 40 penduduk hadir; solat diimamkan Hafiz Hukmi Wardi, Pengerusi Pondok Tok Kenali.
- Motosikal ditemui berhampiran Sungai Wakaf Stan dalam keadaan tidak berkunci.
- Pencarian melibatkan keluarga dan pasukan mencari, pemeriksaan semak serta penggunaan bot namun mangsa belum ditemui.
Menurut anak saudara mangsa, Wan Hirmanuzi Wan Ibrahim, 48 tahun berkata, solat hajat itu merupakan ikhtiar pihak keluarga agar Rosnani ditemui.
“Hari ini sudah masuk hari ke-10. Sebelum ini, kami sekeluarga sudah banyak kali mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di rumah serta di masjid. Hari ini pula, kami mengadakannya di lokasi motosikalnya ditemukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis solat hajat di lokasi penemuan motosikal emak saudaranya di Wakaf Stan, di sini.
Terdahulu seramai 40 penduduk hadir mengadakan solat hajat yang diimamkan cicit ulama terkenal Kelantan, Allahyarham Tok Kenali iaitu Hafiz Hukmi Wardi yang juga Pengerusi Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian.
Menceritakan detik kehilangan Rosnani, Wan Hirmanuzi berkata perkara itu disedari pada 10 Julai lalu apabila bapa saudaranya mendapati motosikal wanita itu tiada di hadapan kediaman selepas beberapa kali menjenguk ke rumahnya.
Apabila Rosnani didapati tidak pulang, ahli keluarga sepakat memulakan pencarian sebelum membuat laporan polis pada Sabtu.
Usaha mencari turut diperluas dengan menghubungi saudara-mara yang menetap di luar Kelantan serta rakan-rakannya, namun tiada sesiapa mengetahui keberadaan wanita itu.
Menurut Wan Hirmanuzi, pada 12 Julai lalu, dia menerima panggilan daripada sepupunya yang memaklumkan motosikal milik ibu saudaranya ditemukan tidak jauh dari Sungai Wakaf Stan dalam keadaan tidak berkunci.
Susulan itu, ahli keluarga bersama pasukan mencari menjalankan pencarian di sekitar lokasi penemuan motosikal, termasuk di kawasan semak dan permukaan sungai menggunakan bot, namun masih gagal menemukan mangsa.
Sehingga kini, usaha mengesan Rosnani masih diteruskan, manakala ahli keluarga berharap wanita itu dapat ditemui.