BANGI, 25 April - Penelitian kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bakal diumumkan Rabu ini akan dilaksanakan secara berhati-hati.
Ia perlu bersifat selamat dan cermat, dengan mengambil kira penurunan kes COVID-19 ketika ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata cadangan kelonggaran SOP itu akan dibentang kepada jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet, pada hari sama.
(Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berucap pada
Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18, di sini, hari ini)
"Pihak Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) telah berbincang panjang lebar tentang perkara ini sebab kita tidak mahu tersilap langkah.
"Kita sudah uruskan dengan baik dan kes semakin menurun, hospital kita tidak tertekan. Kelonggaran yang kita beri pada SOP ini adalah bersifat selamat dan cermat", katanya.
Mengenai ibadah haji pula, Khairy berkata Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan protokol baharu susulan syarat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji tahun ini.
Kementerian Kesihatan juga akan memastikan petugas kesihatan yang cukup untuk membantu para jemaah Malaysia di Tanah Suci Mekah.
Garis panduan persiapan akan disediakan dalam masa terdekat.
Beliau ditemui dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (Gegar-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.