fb fb fb fb fb

Kelonggaran pemakaian pelitup separuh muka dimuktamadkan mengambil kira semua aspek -Khairy

(Khairy Jamaluddin)

KUALA LUMPUR, 29 April- Keputusan mengenai kelonggaran pemakaian pelitup separuh muka di kawasan terbuka dimuktamadkan selepas mengambil kira semua aspek termasuk keselesaan orang ramai dan kadar kebolehjangkitan COVID-19 di kawasan terbuka adalah antara 16 hingga 20 kali lebih rendah berbanding kawasan tertutup.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di kawasan terbuka adalah antara 16 hingga 20 kali lebih rendah berbanding kawasan tertutup.

Khairy berkata, tiada keperluan untuk menangguhkan kelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka.

"Kita telah mengambil kira semua aspek tersebut. Sebab itu saya telah bersedia mengumumkan garis panduan pemakaian pelitup muka yang baru ini selepas selesai bulan Ramadan.

"Sebab saya nampak bulan Ramadan ini paling banyak pengunjung di kawasan bazar Ramadan. Sesak dan sebab itu saya berbincang dengan Majlis Pemulihan Negara, MPN saya kata selepas Ramadan.

"Namun, ada dibenarkan juga rumah terbuka semua dan kita beranggapan bahawa risiko tidaklah tinggi sepertimana keadaan sesak bulan Ramadan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menggalakkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka yang sesak.



(Kadar kebolehjangkitan COVID-19 di kawasan terbuka adalah antara 16 hingga 20 kali lebih rendah
berbanding kawasan tertutup)


Beliau mengulas desakan pelbagai pakar kesihatan yang mahu KKM menangguhkan kelonggaran tidak memakai pelitup separuh muka di kawasan terbuka ke suatu tempoh selepas Aidilfitri.

Sementara itu, Khairy mengakui berpuas hati dengan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) yang membenarkan guru tidak divaksinasi untuk mengajar murid secara fizikal di kelas, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Katanya, kebolehjangkitan varian Omicron adalah hampir sama bagi individu divaksinasi atau sebaliknya, namun pelalian COVID-19 berfungsi untuk melindungi penerima daripada menghidap gejala teruk.

"Dalam hal ini, saya melihat garis panduan KPM adalah langkah tepat, namun pengecualian bagi guru bergejala. KKM mendapati dengan penularan Omicron, vaksin lebih untuk melindungi penerima kerana kebolehjangkitan tinggi.

"Sama ada divaksin atau tidak, dia masih boleh menjangkiti orang lain. Dalam keadaan itu kita berpuas hati dengan profil risiko bagi kebolehjangkitan dengan syarat guru bergejala divaksin atau tak, tidak boleh mengajar," katanya.

Media Baharu