HULU LANGAT, 8 Mei – Usaha berterusan dalam memastikan kelestarian sumber air negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi dasar, perundangan, pendidikan awam, advokasi akar umbi dan pembudayaan sikap dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan air merupakan nadi kehidupan dan kemajuan sesebuah negara, sekali gus menjadikan keterjaminan air amat penting untuk kelangsungan hidup rakyat dan pembangunan ekonomi.
“Keterjaminan air menjadi asas kepada keterjaminan makanan, menggerakkan sektor ekonomi, menyuburkan sektor pertanian, menyokong sistem kesihatan, menjana tenaga dan kelestarian alam sekitar. Tanpa air yang mencukupi, bersih dan selamat, segala perancangan pembangunan negara akan terbantut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Bijak Air Madani di Loji Rawatan Air Sungai Langat 2, Hulu Selangor, di sini hari ini.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, meskipun Malaysia tergolong antara negara dengan kadar hujan yang tinggi, negara turut berdepan cabaran perubahan iklim yang memberi kesan terhadap keterjaminan air.
“Keterjaminan air semakin terancam akibat pencemaran sungai oleh sisa industri, pembuangan bahan kimia, pembangunan tidak terkawal serta permintaan yang terus meningkat seiring pertambahan penduduk dan urbanisasi.
"Perubahan iklim menjadikan keadaan lebih kompleks dengan banjir besar di luar musim dan gangguan sumber air mentah yang memberi impak kepada sistem bekalan air negara.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah sikap tidak mengamalkan penjimatan air, pembaziran air yang berleluasa, pembuangan sampah di sungai, infrastruktur yang ketinggalan zaman serta tahap kesedaran awam yang masih rendah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Fadillah optimis Kempen Bijak Air Madani membawa dimensi baharu yang menyeluruh, progresif dan berimpak tinggi.
“Kempen ini bukan sekadar kempen biasa, sebaliknya sebuah gerakan nasional yang menuntut kesedaran, tindakan serta tanggungjawab kolektif seluruh rakyat Malaysia untuk menghargai air sebagai sumber kehidupan dan tenaga bernilai yang perlu diurus secara bijaksana,” ujarnya.