fb fb fb fb fb

Sultan Pahang dukacita tanah di negeri itu telah diceroboh peneroka haram

Sultan Pahang dukacita tanah di negeri itu telah diceroboh peneroka haram./ Foto Bernama

RAUB, 8 Mei-Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dan dukacita apabila sebahagian besar tanah di negeri itu telah diceroboh oleh peneroka haram.

Baginda difahamkan kawasan seluas 26 ribu ekar telah diceroboh di daerah Raub yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri serta rakyat Pahang.

Titah baginda, melihat kepada angka tersebut sudah tiba masanya aktiviti pencerobohan tanah secara haram di negeri ini seharusnya dinoktahkan serta diselesaikan secara baik.

Titah baginda lagi, bagi mereka yang ingin memiliki tanah untuk sebarang tujuan perlu dilakukan secara sah melalui permohonan kepada jabatan berkaitan.

Justeru titah baginda, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan lebih kerap selain menyarankan agar rakyat di negeri ini menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan sebarang aktiviti pencerobohan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli meninjau kawasan kebun durian haram di Sungai Ruan, Raub, Pahang.

Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda sebelum itu, diberikan taklimat ringkas berkaitan situasi semasa kawasan tanah yang diceroboh serta tindakan operasi penguatkuasaan oleh pihak kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). 

MOHAN CHINNASAMY