KUALA LUMPUR, 8 Mei - Industri francais yang menyumbang RM36 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 68,000 peluang pekerjaan membuktikan potensinya yang besar kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggalakkan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, untuk merebut peluang yang ditawarkan menerusi inisiatif Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
"Kita melihat belia sama ada di bandar mahupun luar bandar, tumpuan (perniagaan) mereka lebih kepada perniagaan makanan dan minuman. Sebenarnya, kerajaan melihat potensi untuk bidang lain juga sangat besar."
"Justeru, belia perlu mempertingkatkan kualiti dan mula mendekati MFA dan KUSKOP bagi mendapatkan khidmat bagi membawa produk, bukan sahaja aspek menghasilkan sesuatu produk di Malaysia. Tetapi akhirnya menghasilkan satu produk yang boleh difrancaiskan."
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Francais ASEAN (AFC) dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, jaringan luas yang dimiliki Persatuan Francais Malaysia (MFA) berpotensi membantu sesuatu produk menembusi sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran pelanggan di ASEAN.
"MFA telah bergerak pantas untuk menyatukan syarikat-syarikat francais bukan sahaja di Malaysia, malah rantau ASEAN. Tambahan pula, ASEAN mempunyai pasaran yang luas dengan kira-kira 600 juta penduduk."
"Jadi jika kita ada produk yang baik, kita boleh menembusi sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran ASEAN, kita sudah mempunyai 60 juta pelanggan dan ini harus digalakkan menerusi intra-ASEAN perniagaan dalam industri francais. Ia kena dimulakan sekarang," katanya.