fb fb fb fb fb

KELANTANfm Ambil Peduli sasar 12 siri program sepanjang 2025

Mohd Azlan Mahmood (tengah) menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur kepada bekas juruhebah KELANTANfm Jamaliah Mohd Romi menerusi Program KELANTANfm Ambil Peduli Siri 1 tahun 2025 di Kampung Pangkal Meleret, Machang / RTM

KOTA BHARU, 15 Januari- Jabatan Penyiaran Kelantan komited meneruskan program KELANTANfm Ambil Peduli dengan menyasarkan sebanyak 12 siri program berkenaan diadakan sepanjang tahun ini.
 
Ketua Bahagian Rancangan, Mohd Azlan Mahmood berkata, program yang dirancang sepanjang tahun itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menghargai mereka yang telah banyak menyumbang kepada jabatan berkenaan sebelum ini.
 
“KELANTANfm Ambil Peduli ini kita tetapkan untuk memilih pegawai-pegawai RTM Kelantan yang telah berpencen, yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

"Kita juga pilih dalam kalangan artis-artis tempatan yang pernah bekerjasama dengan kita yang mana apa kita dapat maklumat mengakatakan mereka kurang sihat dan juga pendengar-pendengar setia kita.”
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur kepada bekas juruhebah KELANTANfm Jamaliah Mohd Romi menerusi Program KELANTANfm Ambil Peduli Siri 1 tahun 2025 di kediamannya di Kampung Pangkal Meleret, Machang, Kelantan.
 
Jamaliah atau lebih mesra dipanggil Kak Wei merupakan bekas Juruhebah KELANTANfm yang terkenal melalui segmen Apa Khabar Orang Kelate (AKOK) dan telah bersara pada tahun 2020 setelah berkhidmat selama 38 tahun di jabatan berkenaan.
 
Mengulas lanjut Azlan berkata, program tersebut yang telah memasuki tahun keenam pelaksanaan sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada penerima.
 
Sementara itu, Kak Wei berkata, dia amat teruja dan berterima kasih kepada RTM Kelantan kerana sudi menziarahinya serta sentiasa cakna dengan warga kerja walaupun yang telah lama berpencen.
 
“KELANTANfm Ambil Peduli satu program yang patut diteruskan dari semasa ke semasa, apalagi untuk bertanya khabar mereka yang berpencen seperti saya," kata Kak Wei.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE