fb fb fb fb fb

Kelantan perlu tambahan K9 kekang aktiviti penyeludupan

RANTAU PANJANG, 31 Mac- Polis Kelantan memerlukan tambahan Anjing Pengesan (K9) untuk bagi mengawal dan mengawasi sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, setakat ini pihaknya hanya memiliki tiga ekor anjing K9 yang ditugaskan untuk mengawal keseluruhan sempadan darat yang membabitkan Rantau Panjang, Pasir Puteh, Jeli, dan Gua Musang.

Katanya, dengan taktik dan modus operandi penyeludup yang sentiasa berubah, unit anjing K9 menunjukkan keberkesanan dalam mengesan bahan terlarang yang disembunyikan.

"K9 ni cukup berkesan terutama dalam mencegah penyeludupan sama ada penyeludupan dadah atau penyeludupan senjata api.

"Penyeludup ni akan cari idea bagaimana nak sembunyikan bahan seludup, kadang-kadang mereka tebuk tayar letak dalam tayar kita tak tahu kalau menggunakan kepakaran kita yang biasa tayar spare sebagai contoh kita taktau cuma K9 yang boleh kesan," kata Shafien.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Memperkasakan Kawalan Sempadan Sempena Pembukaan Sempadan esok di Rantau Panjang, Kelantan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut, Datuk Shafien berkata, selaras pembukaan sempadan seperti diumumkan, pihaknya menempatkan unit berkuda selain unit K9 dan teknologi dron bagi mengawasi sempadan daripada mudah dibolosi oleh penyeludup.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat)

Media Baharu