BACHOK, 26 Jun- Kelantan dipilih sebagai antara negeri perintis bagi pelaksanaan projek tanaman bawang berskala besar, selari dengan usaha kerajaan untuk menjamin keselamatan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Projek rintis yang melibatkan 51 usahawan tani dengan keluasan 27 hektar membabitkan tujuh daerah itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi mencapai kadar sara diri (SSL) bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030.
Menurut Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria, keselamatan makanan kini menjadi isu strategik bukan sahaja di peringkat nasional, bahkan global.
Malaysia kini mengimport hampir seratus peratus bawang dari India dan China dan kebergantungan itu menjadikan negara terdedah kepada turun naik harga pasaran antarabangsa.
“Sekarang ini tujuh daerah akan berjalan serentak...tunggu benih mardi dengan infrastruktur, kemudian terus tanam tahun ini juga. Jana yang 700,000 itu. Pihak kementerian mengambil inisiatif untuk mengeluarkan benih sendiri… sampai bila kita hendak bergantung dengan orang, tetapi kos permulaan ini tinggi, sebab satu lagi kos tenaga buruh juga tinggi", katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, Bachok.
Majlis kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sebanyak RM1.31 juta diperuntukkan kepada tujuh jajahan bagi menjayakan projek tersebut, dengan TKPM Telong merupakan lokasi terbesar melibatkan kawasan seluas 4.6 hektar, berpotensi menghasilkan 108 metrik tan bawang setahun dengan pendapatan disasar RM700,000.
Ia melibatkan tiga jenis bawang iaitu BAW1, BAW2 dan BAW3.
Kawasan seluas 1,447 hektar di seluruh negara disasarkan bagi mencapai pengeluaran sebanyak 14, 470 metrik tan bawang menjelang 2030.
Norbahani berkata, walaupun tanaman bawang ini masih baharu di Kelantan, namun dijangka mampu berkembang pesat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Selain mengurangkan kebergantungan import, projek ini juga mampu meningkatkan pendapatan petani dan menggalakkan penglibatan belia dalam sektor pertanian moden.
Usaha sedang dijalankan untuk memperluaskan projek bawang termasuk menerusi penggunaan teknologi fertigasi gantung, meja dan tanaman atas tanah, dengan peruntukan dana khas bagi tujuh jajahan terlibat.