PUTRAJAYA, 26 Jun- Keupayaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika ini bergantung kepada latihan berterusan, pemerkasaan teknologi, serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.
Demikian menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
"Sekarang ini kita guna media sosial. Kita guna 'WhatsApp Group'. Tak perlu tunggu lama, tak sampai sejam. Dalam beberapa minit, kita dah dapat respons. Dan tindakan sewajarnya kita terus laksanakan.
"Kita beri respons yang terbaik, sebab masyarakat nak jawapan. Bila ada isu, mereka tanya apa pendirian JAKIM? Jadi, yang penting kita maklumkan bahawa inilah pendirian kita.
"Mungkin tindakan selanjutnya akan diambil bersama pihak-pihak lain, termasuk pihak negeri dan sebagainya. Itu yang mereka mahukan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Sanjungan Budi dan Anugerah Ketua Pengarah JAKIM 2024 bagi meraikan 212 warga agensi yang menunjukkan prestasi cemerlang tahun lalu di sini.
Majlis yang berlangsung di Putrajaya itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM sendiri.
Mereka yang diraikan ialah 29 pesara yang akan menamatkan perkhidmatan pada tahun ini menerusi Apresiasi Sanjungan Budi, manakala 183 warga agensi menerima Anugerah Ketua Pengarah sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, amanah dan pencapaian mereka dalam memperkasa agenda Malaysia MADANI.