PASIR MAS, 2 Januari - Empat kematian akibat lemas dicatatkan di Kelantan sepanjang musim banjir sehingga semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, semua kejadian yang berlaku di Pasir Mas itu antaranya disebabkan oleh mangsa tergelincir, memukat ikan dan meredah banjir.
"Kejadian ini berlaku di waktu banjir, tapi tidak bermakna mangsa bermain banjir.
Seperti kejadian semalam, mangsa cuba untuk meredah banjir dan terjatuh, semuanya berlaku di Pasir Mas", katanya selepas majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, di sini.
Mengulas mengenai peralihan Kelantan ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok, Shafein berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan rakyat negeri itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Saya percaya selepas ini mungkin ada majlis kenduri dan sebagainya, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bersama-sama memantau situasi atau majlis yang bakal diadakan.
Kalau kita lihat di negeri-negeri fasa empat, masih ada tindakan penguatkuasaan dibuat atas kesalahan atau pelanggaran SOP", katanya.