fb fb fb fb fb

Banjir: Semua agensi sudah bersedia apabila diperlukan


KOTA KINABALU, 2 Januari - Kerajaan negeri akan memastikan semua agensi di seluruh negeri Sabah, akan bersedia untuk menjalankan tugas masing-masing apabila diperlukan pada ketika musim banjir di negeri itu, kata Ketua Menterinya Datuk Hajiji Noor.

“Pada masa ini, keselamatan orang ramai adalah keutamaan kerajaan,” kata Hajiji dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh sebab itu beliau berkata, semua pihak keselamatan telah pun diarahkan untuk ke kawasan terjejas dan juga kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, bagi membantu mangsa.

“Bantuan makanan kecemasan juga sedang disediakan untuk diedarkan kepada mangsa banjir secepat mungkin oleh agensi berkaitan,” katanya.

Ketua Menteri itu berkata beliau akan menghadiri mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Pascabanjir Monson Timur Laut secara maya, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

Sehingga petang ini seramai 1,249 mangsa banjir daripada 432 keluarga telah dipindahkan di lima daerah iaitu Kota Marudu (1,019 mangsa, 376 keluarga), Sandakan (61 mangsa, 17 keluarga), Telupid (43 mangsa, lapan keluarga), Beluran (38 mangsa lapan keluarga), Pitas (36 mangsa 10 keluarga), dan daerah kecil Paitan (52 mangsa 13 keluarga). - BERNAMA

 

Media Baharu