HULU LANGAT, 2 Januari - Kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja RM1 bilion.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman berkata, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta jalinan hubungan rakyat dapat diteruskan.
"Selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerja-kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh, dan perlu dilaksanakan segera.
Fokus utama adalah memastikan laluan yang terjejas dapat dilalui semula dan kemudian memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat untuk digunakan", katanya ketika melakukan tinjauan kerja pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, di sini.
Sementara itu, KKR sedang mengambil langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.
Pihaknya berkerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak.