fb fb fb fb fb

Kelahiran bayi tahun baharu ceriakan dua pasangan di Johor Bahru

Petugas hospital bergambar dengan dua bayi tahun baharu

JOHOR BAHRU, 1 Januari - Kelahiran bayi sempena tahun baharu memberi kegembiraan kepada dua pasangan suami isteri, di sini.

Tinjauan di salah sebuah hospital pakar di Johor Bahru mendapati, seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan selamat dilahirkan pada pukul 9.17 pagi dan 10.00 pagi tadi.

Kedua-dua bayi berkenaan disambut dengan berat badan masing-masing 4.1 kilogram dan 2.4 kilogram.

"Alhamdulihah, ini anak sulung saya dan ini pengalaman saya melahirkan anak melalui pembedahan. Kita memang pilih tarikh ini," kata Eksekutif Norashikin Mad Isa.

"Sebenarnya tarikh melahirkan itu jatuh pada pertengahan Januari ini, tetapi saya ada masalah kencing manis, jadi perlu bersalin awal. Dan jatuh pada tarikh hari ini," kata Pegawai Perubatan Hosptal Sultan Ismail (HSI) Johor Rabiatul Adawiyah Baharuddin.

Sementara itu di Pahang, seramai 31 bayi ‘Generasi Beta’ dilahirkan pada tarikh istimewa hari ini di hospital seluruh Pahang, setakat pukul 5.00 petang tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan berkata, daripada jumlah kelahiran itu, 16 orang merupakan bayi lelaki dan 15 bayi perempuan.

Bayi lelaki Melayu seberat 2.85 kilogram (kg) menjadi bayi terawal dilahirkan iaitu pada pukul 12.12 pagi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

"HTAA mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi di Pahang dengan seramai 14 bayi termasuk kelahiran sepasang bayi kembar dan diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (sembilan bayi).

"Manakala Hospital Pekan, Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lipis, masing-masing mencatatkan dua kelahiran selain, satu kelahiran di Hospital Raub dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands," menurut Dr. Rusdi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari pertama tahun 2025 dan mendoakan agar anak-anak ini terus sihat serta membesar menjadi anak-anak yang membanggakan ibu bapa dan keluarga.

TETITIA YUSOFF