fb fb fb fb fb

Empat penyedia media sosial mohon lesen di Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Januari- Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerima lesen dalam masa terdekat.

"Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi," menurut MCMC dalam satu kenyataan.

Sementara itu X dan Google setakat ini masih belum mengemukakan permohonan masing-masing.

X memaklumkan bahawa jumlah pengguna platform itu di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu lapan juta pengguna.

"Ketika ini, MCMC sedang meneliti kesahihan jumlah pengguna seperti yang dinyatakan oleh X itu dan akan meneruskan sesi libat urus untuk menilai kedudukan X," tambah kenyataan itu.

Bagi Google pula terdapat beberapa isu dibangkitkan berkaitan ciri-ciri perkongsian video di YouTube dan klasifikasinya bawah Kerangka Pelesenan.

Bagaimanapun MCMC telah membincangkan isu bekenaan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform berkaitan memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kewajipan dan tanggungjawab untuk mematuhi Kerangka Pelesenan, yang kini telah berkuat kuasa.

"MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum mendapatkan lesen yang dikehendaki dan menimbangkan tindakan sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Manakala penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan mungkin akan dikenakan siasatan dan tindakan.

Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa hari ini, membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan perlindungan kepada pengguna terutama kanak-kanak dan golongan rentan serta menambah baik kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.

Dalam pada itu MCMC turut memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.

Menurut MCMC usaha tersebut penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI