KLUANG, 17 Jun- Faktor kekurangan biji kopi tempatan, menjadi antara cabaran kritikal dihadapi industri pengeluaran kopi negara, ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI), Chan Foong Hin berkata kadar pengeluaran kopi tempatan, hanya memenuhi tiga peratus permintaan dalam negara.
Pengeluaran kopi negara di peringkat global, hanya berada pada kadar 0.16 peratus.
Manakala kadar import kopi berada pada 97 peratus, bagi kegunaan dalam negara.
Antara cabaran lain, persaingan daripada komoditi lain seperti sawit untuk mendapatkan bantuan dana, keluasan tanah penanaman, tenaga buruh dan kos input.
Persaingan dari negara jiran serta keperluan tenaga buruh juga menyumbang kepada cabaran industri kopi negara.
"Permintaan kopi dalam negara semakin meningkat, daripada 600,000 kilorgram setahun, dijangka akan naik 800,000 kilogram setahun, cuma masalahnya kita bergantung 97 peratus daripada biji kopi yang diimport...jadi untuk memajukan industri kopi negara, kita harus menghasilkan kopi sendiri," katanya.
(Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI), Chan Foong Hin)
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI, di sini hari ini.
Tiga klon kopi Liberica, tingkat pengeluaran kopi negara
Sementara itu, tiga klon kopi Liberica baharu yang dihasilkan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), perlu dimanfaatkan agensi berkaitan, untuk meningkatkan pengeluaran kopi negara.
Kopi Liberica mampu menghasilkan kopi lebih tinggi, berdaya tahan terhadap serangan serangga perosak, serta jualan lebih tinggi, berbanding Kopi Arabica dan Robusta.
Menurut Foong Hin sebanyak 10 klon kopi Liberica dan Robusta telah diisytiharkan MARDI, sejak 1992.
Sebanyak 44 pokok individu kopi telah dikumpul dan dinilai di MARDI Kluang, dan telah menyumbang kepada kejayaan penyelidik MARDI, menghasilkan pelbagai varieti klon kopi berkualiti.
Selain itu, beliau yakin teknik anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok penanti, dapat menjimatkan kos pengeluaran, tenaga buruh dan masa menghasilkan kopi.
"Atas usaha MARDI ini, memang Johor saya lihat, satu tempat yang sesuai untuk penanaman kopi Liberica, dekat Kluang, Batu Pahat...Johor dengan tanah yang subur, memang sesuai untuk pembangunan kopi di negara ini," jelasnya.
Dalam pada itu, MARDI perlu terus berusaha mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi kopi, untuk kekal menjadi pusat rujukan utama industri kopi negara.
Kerajaan negeri turut diseru bersama-sama, mewarwarkan dan menyokong inovasi dihasilkan, supaya petani dan pengusaha kopi dapat menerima manfaat.