fb fb fb fb fb

Kestabilan politik, tarik pelabur luar- TYT Melaka

AYER KEROH, 13 Mac- Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mahu kestabilan politik di Melaka dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, kestabilan politik penting dalam menarik kedatangan pelabur ke Melaka untuk pembangunan negeri.

Beliau turut mengingatkan seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk menumpukan usaha melunaskan janji dalam Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu.

“Justeru saya juga amat berharap agar wakil-wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat, merangka dasar-dasar pembangunan negeri yang mampu menarik lebih banyak pelaburan demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri Melaka,"katanya.

Dalam pada itu beliau juga menyeru masyarakat untuk bersama mendukung konsep Malaysia Madani dalam kerangka pembangunan ekonomi negeri dan demi sahsiah Melaka.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Sementara itu, Tun Dr Mohd Ali menyarankan kerajaan negeri ini, mengaktifkan semula Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Melaka.

Jelas beliau, dengan penubuhannya beberapa inisiatif hijau berimpak tinggi dapat diteruskan.

Ia termasuk inisiatif kecekapan tenaga, mempertingkat tenaga boleh diperbaharui dan penggunaan produk biodegradasi.

Katanya langkah ini penting, berikutan kadar pelepasan gas rumah kaca bagi Melaka pada 2017 ialah sebanyak 6.3 juta tan karbon dioksida dan dijangka terus meningkat atas pelbagai faktor pembangunan ekonomi.


(Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam memeriksa perbarisan kawalan hormat pada  Perasmian
Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15)

 

Media Baharu