TANJUNG MALIM, 13 Jun- Sepasang suami isteri mengalami sesak nafas selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai di Jalan Bunga Anggerik, Tanjung Malim, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim menerima panggilan kejadian itu pada pukul 4.34 pagi melibatkan bangunan dua tingkat kedai pemborong makanan.
"Kebakaran melibatkan bahagian bawah premis dengan kemusnahan 60 peratus."
"Mangsa berusia 31 dan 36 tahun yang berada di bahagian atas kedai berkenaan berjaya dibawa keluar oleh anggota penyelamat," kata kenyataan itu.
Ujarnya, kedua-dua mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan telah dihantar ke hospital oleh jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
Tambahnya, tindakan pantas yang dilakukan anggota turut berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Kemboja yang berada di bangunan bersebelahan.