fb fb fb fb fb

KedahFM kumpul 10,000 kg botol plastik terpakai sempena Jelajah Aspirasi Merdeka

KedahFM berjaya mengumpul lebih 10,000 kilogram botol plastik menerusi Kempen Kutipan Plastik Terpakai/Foto KedahFM

ALOR SETAR, 26 Ogos - Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui KedahFM mengumpul 100,000 kilogram (kg) botol plastik terpakai bersama stesen RTM lain bagi mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Jelajah Aspirasi Merdeka 2025.

Penyelaras program, Hamdan Dain, berkata KedahFM sahaja telah berjaya mengumpul lebih 10,000 kg botol plastik menerusi Kempen Kutipan Plastik Terpakai bermula 16 Ogos lalu yang akan berakhir 30 Ogos ini.

“Untuk KedahFM, kami telah pun mencapai dan melebihi sasaran 10,000 kilogram, dan insya-Allah jumlah ini akan digabungkan bersama kutipan stesen RTM lain bagi melengkapkan misi 100 kilogram Malaysia Book of Records,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini hari ini.

Penyerahan kutipan disempurnakan Timbalan Pengarah Kedahfm, Rohani Musa, kepada pihak E-Idaman yang diwakili Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Ahmad Fuad Abdul Rahim.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, E-Idaman menyasarkan 10,000 kilogram botol terpakai untuk dikitar semula tahun ini.

“Projek ini akan berterusan demi kelestarian alam sekitar. Melalui pusat pandu lalu yang diwujudkan, orang ramai dialu-alukan membawa barangan kitar semula yang boleh ditukar kepada wang tunai,” katanya.

Selain orang ramai, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong, Alor Setar, turut menyerahkan barangan kitar semula sebagai usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk kuiz anjuran Skuad Kedahfm bagi memeriahkan suasana.

GRACE AISYAH KEDAYAN